Thursday, October 3, 2013

Kembara Sulung di Bumi Tandus


teks: Amir Azli bin Mohd Al-Kharid

Saya ingin berkongsi kisah pengalaman pertama merantau ke bumi arab. Selepas 7 bulan saya menyertai Sime Darby Engineering dan menjalani latihan di projek F-13 Shell Sarawak, saya telah ditugaskan untuk projek Bunga Orkid -A, sebuah platfrom integrasi yang beratnya lebih kurang 20 ribu MT yang diuruskan oleh Talisman Malaysia. Sebagai pendatang baru tentu banyak yang perlu dipelajari lebih-lebih lagi dunia ini begitu asing bagi saya. Namun bantuan dan tunjuk ajar dari otai-otai banyak membantu memahami proses dan selok-belok operasi pembinaan sebuah pelantar minyak. Pada waktu itu juga saya sedang dalam proses mengumpul dana untuk mendirikan rumah tangga dengan yang tersayang. Walaupun gaji permulaan cukup untuk menampung kehidupan seharian dan membantu sedikit sebanyak ibu dan bapa, saya rasa agak mustahil untuk saya mengumpul duit dalam masa yang singkat untuk perkahwinan. Setiap hari saya tidak putus berdoa semoga Allah meluaskan rezeki melalui jalan-jalan yang tidak disangka-sangka. 

Dengan kuasa Allah, doa saya dimakbulkan 6 bulan selepas itu. Dengan tidak semena-mena saya dipanggil oleh pengurus dan menawarkan untuk menyertai projek di Qatar. Perasaaan yang bercampur-baur terbang bersama saya pada bulan Jun 2007. Dengan matlamat untuk menambahkan pengalaman disamping mendapat elaun yang besar, saya kuatkan semangat dan buang perasaan takut jauh-jauh. Maka bermulalah episod baru dalam hidup saya.
Musim sejuk di Qatar sekitar bulan Disember ke Mac pada setiap tahun


Penulis bersama teman rapat - Syed Firdaus di Zoo Doha


Operasi utama di Qatar pada waktu itu ialah penghantaran 3 platfrom baru yang siap di bina di Yard Pasir Gudang dan pemasangan platform tersebut di luar pesisir pantai Qatar. Kemudian terdapat kerja-kerja 'Hook up' dan modifikasi dan pemasangan riser untuk platform-platform yang sedia ada disitu. 
Kami ditempatkan di apartment yang selesa dan perjalanan ke tempat kerja menggunakan kenderaan syarikat. Pejabat kami betul-betul terletak di hadapan lapangan terbang antarabangsa Qatar. Majoriti staff di pejabat berasal dari Malaysia namun ada juga staf dari India, Filipina, Indonesia dan UK. Syarikat juga ada menjalin kerjasama strategik dengan syarikat tempatan untuk melicinkan lagi operasi projek. Percampuran dengan pelbagai jenis manusia mengajar saya bukan sahaja dari segi teknikal kerja malah erti sebenar sebuah kehidupan. 
Penulis bersama Mr. Samy  El-Nahas, Jurutera Kualiti untuk Qatar Petroleum
Aktiviti riadah syarikat - menunggang ATV di tepi laut
Menyambut Syawal di perantauan





Rupanya komuniti masyarakat Malaysia telah lama bertapak di Qatar. Mereka tinggal secara berkelompok dan berkhidmat di beberapa syarikat besar seperti Qatar Petroleum dan RasGas. Pekerja pakar dari Malaysia dihormati kerana faktor kredibiliti dan institusi pendidikan yang diiktiraf berbanding pekerja dari negara-negara jiran kerana isu pemalsuan dan sebagainya.Oleh itu peluang kerja di Qatar memang banyak tetapi perlulah mempunyai pengalaman yang luas dan memiliki sijil teknikal seperti dari API, AWS dan sebagainya. Cuma perlu berhati-hati sekiranya menerima tawaran berkerja di kawasan timur tengah kerana faktor kos rumah yang mahal dan penipuan sindiket palsu.

Apa yang menarik apabila kita berada dalam komuniti Malaysia diluar negara, hubungan sesama rakan sangat rapat. Kami saling mengunjungi antara satu sama lain dan sering mengadakan aktiviti berkumpulan seperti riadah dan lawatan luar. Oleh kerana saya jenis yang kuat makan, dengan tidak sengaja skill memasak saya telah terasah. Saya sanggup menghubungi emak untuk bertanya resepi-resepi kegemaran dan seterusnya masak dan makan beramai-ramai. Harga barang makanan agak mahal kerana kebanyakan bahan mentah di import dari luar kecuali minyak mentah yang sungguh banyak sehinggakan petrol pada waktu itu berharga sekitar 60 sen seliter. 

Akhirnya perkelanaan saya berakhir setelah 9 bulan di sana. Sepanjang tempoh itu saya sempat 2 kali pulang ke Malaysia dan sekali 'u-turn' di Bahrain kerana tempoh visa hanya 3 bulan untuk bagi setiap permohonan. Alhamdulillah saya berjaya mengumpul dana yang diperlukan untuk mendirikan rumah tangga secara 'tunai' dan tambahan dana untuk melayari alam seterusnya. 









No comments:

Post a Comment