Wednesday, October 2, 2013

Dunia Baru Menanti

Teks: Amir Azli Mohd Al-Kharid

Menceburi bidang minyak dan gas diketahui umum memberi lebih pulangan berbanding industri-industri lain. Walaubagaimanapun industri ini agak sukar ditembusi oleh mereka yang tiada kepakaran atau pengalaman yang berkaitan kerana faktor kritikaliti dan risiko bahaya yang sangat tinggi. 

Pembabitan saya dalam bidang ini bukanlah sesuatu yang saya rancang semasa zaman belajar. Malah saya langsung tidak berkeinginan untuk menceburi bidang minyak dan gas kerana kurangnya pendedahan dan tambahan cerita-cerita songsang yang saya dengar. Cerita tentang mereka yang terpaksa tinggal di laut berbulan-bulan lamanya. 
Pengalaman penulis menghadapi laut bergelora - Lokasi Laut Arab, berlepas dari pelabuhan Mumbai
Namun perancangan Allah itu yang terbaik. Saya mengambil jurusan Kejuruteraan Komunikasi ketika menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Cita-cita pada masa itu mungkin menjadi jurutera di syarikat komunikasi atau menjadi usahawan berkaitan telefon. Pada penghujung tahun pertama, saya telah ditawarkan biasiswa dari Sime Darby dan perlu berkhidmat dengan Sime Darby selama 3 tahun selepas graduasi. Semasa latihan praktikal, saya telah dihantar ke Sime Engineering di USJ, sebuah syarikat konsultant  selama 3 bulan. Kelakarnya saya ditugaskan di jabatan IT yang agak sipi-sipi berkaitan dengan apa yang saya belajar. Selain dari itu, rutin harian ialah belajar untuk 'format' komputer dan menjaga 'server' syarikat. Sepanjang 3 bulan di situ, saya banyak bergaul dengan jurutera-jurutera dari jabatan kejuruteraan dan dari situlah datangnya minat saya untuk menceburi bidang yang menarik ini.

Selepas graduasi, saya telah dihantar ke Sime Darby Engineering di Pasir Gudang, antara syarikat fabrikasi pelantar minyak dan gas yang terbaik di Malaysia pada ketika itu. Walaupun tersasar jauh dari apa yang saya belajar di universiti, saya menganggap bidang ini merupakan jalan terbaik untuk saya mengembangkan karier saya untuk pergi lebih tinggi. Bermula saat itu saya tidak menoleh ke belakang dan terus mengutip segala ilmu dan kemahiran yang diperlukan. Hasilnya saya telah berkhidmat untuk pelbagai projek tempatan dan antarabangsa. Saya juga telah dihantar ke Qatar dan India untuk belajar dan pada masa yang sama membantu bertungkus lumus untuk menyiapkan projek seperti yang dikehendaki oleh pihak 'client'.

Penulis bergambar di hadapan Khalifa International Stadium Qatar
Setelah hampir 8 tahun berkecimpung dalam dunia minyak dan gas ini, saya mula tersedar pentingnya untuk saya berkongsi pengalaman dan minat terutamanya bagi mereka yang masih di bangku sekolah ataupun masih tercari-cari karier yang sesuai. Allah telah menggerakkan saya dan isteri untuk menyertai program-program luar biasa yang dikendalikan oleh usahawan dan pejuang ekonomi yang terkenal iaitu Dr. Azizan Osman. Menurut beliau sangat berdosa bagi kita untuk tidak berkongi ilmu dan kepakaran yang kita miliki, lebih-lebih lagi untuk membantu anak bangsa mencapai kejayaan.

Saya berharap apa yang dikongsikan dapat memberi pendedahan dan ilmu kepada mereka yang berminat untuk menyertai dunia minyak dan gas. Walaubagaimanapun menjadi impian saya suatu hari nanti untuk memiliki perniagaan saya sendiri setelah cukup segala ilmu dan kepakaran yang diperlukan, InsyaAllah.


2 comments:

  1. Saya pun patut tahu lebih awal.. tapi dah nak umur 40 tahun baru tahu ini sebuah kerjaya yg saya minati.. tak taulah apa nasib saya.. adakah saya masih boleh ceburi bidang ini tuan?

    -Ijam

    ReplyDelete
  2. tumpang tanya.. sime darby psr gdg ada ambil lg ke utk practical student ?

    ReplyDelete