Sunday, December 29, 2013

Tips Temuduga / Interview Oil and Gas

Teks : Amir Azli Mohd Al-Kharid

Sepanjang penglibatan saya dalam industri ini, saya telah mengendalikan lebih kurang 50 sesi interview atau temuduga yang melibatkan beberapa disiplin kerja. Pelbagai gelagat manusia yang boleh kita lihat semasa interview berlangsung yang mungkin menyerlahkan peribadi sebenar orang yang ditemuduga.

Tips temuduga interview oil and gas
Gambar carian google
Sesi temuduga boleh berlaku sepantas 10 minit sehingga berjam-jam lamanya, di pejabat, bilik mesyuarat mahupun di kedai kopi. Kebanyakan 'otai' yang telah lama berkecimpung dalam industri ini pastinya tidak bermasalah dengan sesi temuduga kerana mereka sentiasa melompat dari satu organisasi ke organisasi yang lain bergantung kepada tempoh projek. Walaubagaimanapun bagi mereka yang masih bertatih, menghadiri temuduga mungkin menjadi salah satu mimpi ngeri dalam hidup mereka kerana kurangnya persediaan dan pengalaman, tiada keyakinan diri dan tiada panduan yang betul.

Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya, berikut merupakan beberapa perkongsian tips temuduga / interview sebagai panduan bersama:

1. Pakaian Yang Bersesuaian.
Industri ini tidak memerlukan anda memakai kemeja dan bertali leher. Cukup kemeja mahupun t-shirt yang kemas dan tidak mengapa jika memakai jeans. Cuma pastikan jeans yang tidak selekeh dan baju dimasukkan ke dalam seluar. Ada juga yang memakai 'coverall' tetapi pastikan tiada lambang syarikat lain, lebih-lebih lagi syarikat pesaing.

2. Ketepatan Masa
Pastikan anda terlebih dahulu mengetahui lokasi syarikat berkenaan dan datang sedikit awal dari masa yang ditetapkan. Ini kerana anda mungkin perlu mendaftar dan melepasi keperluan sekuriti syarikat berkenaan dan mengisi beberapa borang yang diperlukan. Anda tidak mahu memberikan 'first impression' yang buruk di mata penemuduga sekiranya anda terlewat kerana karenah sekuriti dan sesat pula mencari pejabat atau bilik temuduga.

3. Persediaan Awal
'Homework' adalah wajib sebelum menghadiri sesi interview. Pastikan anda mengetahui latar belakang syarikat dan projek yang mungkin akan disertai. Pastikan juga anda jelas 'scope' kerja jawatan yang dipohon seperti tugas-tugas umum jawatan tersebut, keperluan 'certificate' yang berkaitan dan pengalaman anda yang berkaitan dengan jawatan tersebut. Selain itu, persediaan fizikal juga penting seperti memastikan kesihatan yang baik, terlebih dahulu makan atau minum dan membuang siap-siap apa yang perlu dibuang.

4. Perkenalan yang Ringkas dan Mantap
Biasanya pada permulaan temuduga, penemuduga akan meminta anda memeperkenalkan diri, kelulusan dan pengalaman yang dimiliki. Pengenalan yang ringkas dan mantap sangat penting untuk memberi keyakinan awal kepada penemuduga yang anda memang layak untuk jawatan berkenaan. Penemuduga mungkin akan terus yakin dengan anda dan tidak memberikan soalan-soalan 'cepu emas'. Sekiranya anda gagal memberikan pengenalan yang mantap, penemuduga pastinya akan membanjiri anda dengan pelbagai soalan lain untuk memastikan anda layak dengan jawatan berkenaan. Anda juga tidak mahu penemuduga tidur dengan pengenalan yang meleret-leret dan tidak bermakna.

5. CV yang Menarik dan Betul
Mungkin ada perlu belajar cara menyediakan CV yang menarik dan betul dari segi susunan dan maklumat yang diperlukan. Anda perlu menyatakan dengan tepat jawatan dipohon yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman anda. Pengalaman perlu disusun dari yang terbaru sehingga permulaan kerjaya di belakang. Pastikan hanya maklumat yang berkaitan sahaja tidak dimasukkan dan tidak perlu menceritakan penglibatan ko-kurikulum anda di sekolah menengah! Selain itu pastikan anda meletakkan 'Referee' atau rujukan dari majikan lama yang boleh memberikan testimoni yang baik.

 6. Jawapan yang Jelas dan Tidak Berbelit-Belit
Dengar dengan teliti soalan dari penemuduga sebelum menjawab. Sekiranya tidak jelas, anda boleh meminta penemuduga menyoal kembali atau menggunakan ayat yang lain. Kemudian jawab dengan jelas dan tidak berpusing-pusing hanya kerana anda tidak mengetahui jawapan yang betul. Ramai penemuduga menghargai kejujuran jika anda memberitahu tidak mengetahui jawapan yang betul tetapi sekiranya banyak soalan yang tidak dapat dijawab mungkin menunjukkan anda memohon jawatan yang salah!

7. Soalan kepada Penemuduga
Kebiasaannya, di hujung sesi temuduga, penemuduga akan memberi peluang kepada anda untuk bertanya soalan. Sebenarnya ini merupakan salah satu cara penemuduga ingin tahu sama ada anda benar-benar berminat dengan kerja yang dipohon dan mempunyai sikap yang betul. Ramai calon yang saya lihat tidak mengambil peluang ini untuk bertanya soalan dan seolah-olah memberikan isyarat yang salah kepada penemuduga seperti anda ingin cepat-cepat menghabiskan sesi temuduga tersebut.

8. 'Cable' yang Betul
Pada zaman sekarang di mana lambakan orang mengejar kerjaya yang diidam, mempunyai 'cable' atau kenalan yang berkerja di organisasi yang anda pohon merupakan satu bonus yang baik. 'Cable' boleh terdiri dari keluarga, kawan-kawan sekolah dan universiti mahupun jaringan-jaringan kumpulan di facebook dan sebagainya. Jadi jangan menjadi seperti kera sumbang yang tidak mahu bergaul dengan orang dan membina jaringan kenalan. Sekiranya anda mempunya 'cable' di organisasi terbabit, beritahu yang anda akan menghadiri temuduga dan mungkin mereka akan memberikan testimoni yang baik kepada penemuduga dan boleh mempengaruhi keputusan temuduga.

9. Be Positive
Anda perlu sentiasa berfikiran positif dan yakin anda boleh menghadapi temuduga dengan baik. Dengan berfikiran positif, anda boleh mendapatkan ketenangan dan keyakinan yang diperlukan. Salah satu cara untuk menenangkan diri yang masih gementar adalah dengan bercakap positif di hadapan cermin. Tuturkan kata-kata yang boleh membangkitkan semangat anda.

10. Tawakkal
Akhir sekali setelah anda berusaha, jangan lupa untuk bertawakkal kepada Allah. Anda boleh mendirikan solat hajat sebelum temuduga dan mengamalkan doa-doa dan selawat untuk memohon bantuan dari Allah. Petua dari arwah ayah saya ialah dengan mengamalkan Surah Al-Mulk ayat ke-14 untuk melembutkan hati penemuduga, InsyaAllah.